Thursday, January 26, 2006

Kenyataan Tun Tidak Berasaskan Fakta

Merujuk kepada akhbar Utusan Malaysia, Selasa 20 September yang lalu, yang melaporkan Tun Dr. Mahathir Mohammad menyatakan Mustafa Kamal (Ataturk) sebagai ‘menyelamatkan Islam di Turki dan menyelamatkan Turki untuk Islam’. Beliau dilaporkan membuat kenyataan tersebut semasa menyampaikan ucaptama pada Seminar Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2005 di Kuala Lumpur pada 19 September.

Tindakan beliau itu amat dikesali dan tidak berdasarkan fakta yang tepat. Penulis berpandangan, hujah yang beliau kemukakan hanyalah berdasarkan keterlibatan Kamal dalam perang sebagai tentera dan juga pemimpin tentera. Kamal Ataturk dijulang oleh para pendokong sekular sebagai nasionalis yang mempertahankan kedaulatan Turki daripada diceroboh penjajah khususnya dalam Perang Galipolli 1915 dan mengalahkan tentera Greece di Izmir pada 1922. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Tun apabila beliau menyatakan “jika bukan kerana Mustafa Kamal, tidak akan wujud orang Islam di Turki, kerana Turki sudah pasti telah menjadi sebahagian daripada Greece.”

Namun begitu, jika sekadar ‘jasanya’ mempertahankan bumi Turki daripada penjajahan, bagaimana pula dengan tindakannya cuba memisahkan Islam daripada masyarakat Turki, khususnya kerajaan? Bahkan Kamal Ataturk dipertikaikan keIslamannya. Menurut Ensiklopedia Islam Safir, pembantu Ataturk menyatakan dia sebenarnya berketurunan Yahudi Daunamah. Selain itu, di antara tindakannya termasuklah menukarkan Masjid Besar Aya Sofya kepada Muzium Aya Sofya, melarang azan dalam bahasa Arab dan menggantikannya dengan bahasa Turki, menghapuskan Kementerian Wakaf, menutup sekolah-sekolah agama, menukar huruf Hijaiyah dalam bahasa Turki kepada huruf Latin, dan menggugurkan Islam sebagai agama rasmi Turki.

Pada peringkat awalnya, Ataturk mengabui mata masyarakat dengan sikapnya yang seolah-olah mendokong perjuangan Islam. Namun begitu, sikapnya yang sebenar dapat dilihat apabila dia menggerakkan kempen menjatuhkan khalifah dan tindaknnya yang anti-Islam apabila menjadi Presiden Turki.

Salah seorang tokoh yang bangkit menentang pengkhianat Islam ini ialah Badiuzzaman Said Nursi. (Sebagai perbandingan kepada Kamal Ataturk yang dikatakan ‘pejuang negara’)

Dalam Perang Dunia Pertama, Said Nursi memimpin pasukan sukarelawan (tentera) di medan perang Kaukasia dan Anatolia Timur. Kecekapan dan ketangkasan beliau di medan pertempuran mendapat pujian dari para panglima Tentera Turki Uthmaniyah, termasuklah Anwar Pasha, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera ketika itu. Pasukan yang dipimpin Said Nursi telah digelar “Pasukan Topi Bulu”. Pasukan ini telah menggerunkan tentera Russia dan pengganas Armenia. Di medan perang inilah beliau telah menulis tafsirnya yang bertajuk “Isyaaratul I'jaz” di dalam bahasa Arab. Karyanya ini ditulis ketika beliau menunggang kuda di barisan hadapan dan di dalam kubu-kubu pertahanan. Tafsir ini kemudianya mendapat penghargaan daripada para ulama terkenal.

Dalam satu pertempuran menentang pencerobohan tentera Rusia, Badiuzzaman dan 90 orang pegawai lain ditawan. Beliau dihantar ke khemah tahanan perang di Kostromaa, iaitu di barat laut Russia dan ditahan di situ selama 2 tahun.

Di antara insiden yang berlaku antara Said Nursi dan Ataturk adalah apabila Ataturk sendiri menjemput Said Nursi untuk menyampaikan syarahan kepada ahli Parlimen kerajaan Republik Turki. Dalam syarahan beliau bagi yang kesekian kalinya, Said Nursi telah menyeru kepada semua ahli Parlimen agar jangan mengabaikan solat. Seruan ini dibuat apabila beliau melihat dengan mata kepalanya sendiri sikap ahli Parlimen yang meninggalkan solat tanpa rasa bersalah.

Rupa-rupanya seruan itu telah menimbulkan kemarahan Ataturk yang pada awalnya berhajat agar Said Nursi akan menyokong perjuangan sekularnya. Apabila Ataturk meluahkan kemarahnnya kepada Said Nursi berkenaan isu solat itu, Said Nursi tanpa berselindung menegaskan bahawa orang yang menolak perintah solat itu adalah pengkhianat Islam! Itulah ‘pengiktirafan’ yang telah diberikan oleh seorang mujahid dan ulama’ besar Islam kepada Kamal Ataturk, bagaimana pula boleh kita mengiktiraf Ataturk sebagai penyelamat Islam? Bukankah itu suatu pembohongan?

Cukup rasanya sekadar ini, tidak perlu lagi dipanjangkan isu ini. Penulis berasa syukur, walaupun tidak disiarkan dalam media arus perdana, tetapi ramai pihak yang membantah ucapan Tun tersebut. Setidak-tidaknya masih wujud kumpulan yang berkesedaran dan sensitif serta responsif terhadap situasi semasa.

Najmuddin Mohd Nawi

0 comments:

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP